Selamat Datang

Kami mengalu-alukan sebarang komen dan cadangan untuk blog ini.Segala aduan juga boleh dibuat di blog ini.Sila sertakan data peribadi yang lengkap untuk segala aduan agar aduan dapat diselesaikan dengan berkesan.

Nama :
No My Kad:
Alamat:
No Tel:
Masalah/Aduan anda:

Sunday, April 4, 2010

TUESDAY, MARCH 30, 2010
Program Ziarah Sosial Pusat Khidmat Keadilan Kuantan (PKKK) bersama YB Fuziah





Pusat Khidmat Keadilan Kuantan bersama YB Fuziah Ahli Parlimen Kuantan turun padang menyelami masalah masyarakat di Tanah Putih Baru.PKKK mendapat tahu bahawa ada kes keciciran sekolah akibat kemiskinan yang dihadapi penduduk disitu.Keluarga ini mepunyai 5 orang anak dimana 4 orang darinya tidak bersekolah akibat kesempitan kewangan keluarga. Pada Ziarah tersebut PKKK bersama YB Fuziah menyampaikan sumbangan peralatan persekolahan dan telah menguruskan anak-anak tersebut masuk semula ke Sekolah Rendah Kebangsaan Tanah Putih. Anak yang sulung akan menyusul kerana masalah mendapatkan tempat di Sekolah Menengah bantuan kerajaan kerana sudah keciciran selama setahun dan PKKK akan menguasahakan agar anak tersebut dapat dimasukan ke sekolah Swasta. Masih ada lagi masalah kemiskinan tegar dan keciciran sekolah berlaku di bandar besar seperti Kuantan walaupun Menteri yang dipertanggungjawbkan masih lagi menafikan perkara ini berlaku di sidang Parlimen baru-baru ini. Bertepatanlah slogan Kerajaan BN Rakyat didahulukan Prestasi di Utamakan.

Monday, March 22, 2010

Petikan Perbahasan DSAI di Parlimen

UNTUK DIEDARKAN BERSEMPENA
Ucapan Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat Rakyat
Rabu, 17 Mac 2010

KEDUDUKAN EKONOMI MALAYSIA: LIMA PERTIKAIAN

 Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan prospek ekonomi yang baik bagi Malaysia, malah mengisytiharkan bahawa “episod yang terburuk telah berlalu”.

 Walaupun ekonomi negara berkembang kembali bagi suku keempat 2009, sebenarnya secara perbandingan Malaysia masih lagi ketinggalan berbanding negara-negara lain di rantau ini. Ini menimbulkan persoalan serius mengenai hala tuju ekonomi negara; terutamanya bersabit kemampuan kita mengangkat ekonomi menjadi ekonomi bernilai tinggi.

 Pada masa yang sama, terlalu banyak slogan dan permainan media yang menumpukan kepada persoalan menaiktaraf ekonomi bernilai tinggi; sehinggakan seolah-olah kita telah mengenepikan isu-isu pokok ekonomi Malaysia bersabit keadilan sosial; sedangkan apa-apa agenda pembangunan ekonomi tidak boleh melupakan persoalan keadilan sosial.

 Malaysia masih lagi gagal untuk menghapuskan kemiskinan (apatah lagi kemiskinan tegar). Statistik terkini yang disiarkan secara rasmi oleh EPU menunjukkan kadar kemiskinan antara tahun 1990 hingga 2007, seperti berikut:







[Sumber: EPU disiarkan dalam tahun 2009, berdasarkan pelbagai laporan Rancangan Malaysia]

 Usaha kita untuk membasmi kemiskinan tidaklah mendatangkan hasil yang membanggakan. Mengikut Laporan Pembangunan Kemanusiaan 2009 oleh PBB, Malaysia menduduki tempat 66 dari segi persamaan ekonomi, yang diukur melalui gini coeeficient. Kita ditinggalkan oleh negara-negara seperti Singapura (kedudukan 23), Hong Kong (kedudukan 24), Korea Selatan (kedudukan 26), Brunei (kedudukan 30) dan Cuba (kedudukan 51).

 Walaupun pelbagai program telah dilancarkan sejak Merdeka, kita masih belum berjaya menghapuskan kemiskinian. Malah, kadang-kadang di bawah Barisan Nasional, kadar kemiskinan sebenarnya meningkat walaupun ekonomi negara sedang berkembang.

 Antara tahun 1990 dan 1997, kita berjaya mengurangkan kadar kemiskinan sebanyak 63% (diukur berdasarkan peratus jumlah keluarga di bawah paras kemiskinan, berbanding jumlah isi rumah di seluruh negara). Kemudian, kadar kemiskinan sebenarnya meningkat sebanyak 39% di antara 1997 dan 1999.

 Kalau peningkatan ini disalahkan kepada krisis ekonomi 1997, bagaimana pulak peningkatan kadar kemiskinan di antara tahun 2002 dan 2004 – kerana ini adalah zaman kemakmuran BN apabila wang negara banyak dibelanjakan dan disalurkan kepada ekonomi kita melalui pelbagai projek? Benarlah rintihan rakyat selama ini, yang mendapat manfaat hanyalah kroni sedangkan rakyat dhaif terus sengsara.

 Di antara tahun 2004 dan 2007, kerajaan hanya berjaya mengurangkan kadar kemiskinan sebanyak 37% sahaja; jauh lebih rendah berbanding kadar 60% yang dicapai pada dekad 90an dahulu. Pada kadar hanya 37% ini, kita musykil sama ada Malaysia akan berjaya membasmi kemiskinan pada masa akan datang.

 Jika diteliti dengan lebih dekat, kita juga akan mendapati bahawa ketidaksaksamaan ekonomi di antara kumpulan yang berbeza sebenarnya lebih membimbangkan, terutamanya di kalangan masyarakat Bumiputra Sabah dan Sarawak. Mereka kekal sebagai kumpulan yang paling miskin, walaupun sebahagian besar sumber kekayaan negara datangnya dari Sabah dan Sarawak.

 Mengambil kira perkara-perkara ini, saya benar-benar percaya bahawa amanah memimpin ekonomi kita ke arah pembangunan menyeluruh; berdasarkan prinsip kesaksamaan dan keadilan sosial – adalah tugas yang terlalu berat buat kerajaan sedia ada, terutamanya berdasarkan rekod mereka setakat ini.

 Oleh itu, ucapan saya pada hari ini akan memberi fokus kepada lima isu ekonomi yang bertentangan dengan pengakuan PM bahawa “segala-galanya adalah baik”.

 Lima isu ekonomi ini adalah peringatan penting kepada kita, betapa besarnya tugas reformasi dan mengubah cara pentadbiran ekonomi negara yang diperlukan, sekiranya kita ingin menaiktaraf ekonomi menjadi ekonomi bernilai tinggi dan pada masa yang sama, mempastikan kemakmuran diagihkan secara saksama kepada semua.


Pertikaian Pertama:
KEBERGANTUNGAN KEPADA HASIL MINYAK DAN PERBELANJAAN KERAJAAN YANG TERLALU BESAR SEHINGGA MEWUJUDKAN JURANG PELABURAN KERAJAAN-SWASTA

 Malaysia hanya mengamalkan satu dasar ekonomi sejak 1998 iaitu membelanjakan wang rakyat melalui projek-projek besar untuk menghidupkan ekonomi, sedangkan pada kebiasaannya langkah ini hanyalah langkah sementara yang digunapakai dalam keadaan tertentu sahaja.

 Berikut adalah peratus defisit belanjawan berbanding KDNK:



1998 1999 2000 2001 2002 2003 2004 2005 2006 2007 2008 2009
Nota 1
Dengan hasil minyak 1.8 3.2 5.5 5.2 5.3 5.0 4.1 3.6 3.3 3.2 4.8 7.4
Nota 2
Tanpa hasil minyak 6.8 8.6 8.8 11.7 15.1

Nota 1: Defisit belanjawan keseluruhan (% KDNK pada harga semasa) [Sumber:Bank Pembangunan Asia]
Nota 2: Defisit belanjawan keseluruhan tanpa hasil minyak (% KDNK pada harga semasa) [Sumber: Laporan IMF]

 Kebergantungan kepada hasil minyak (seterusnya jalan mudah menggunakan wang PETRONAS walaupun keuntungannya tidak lagi boleh menampung permintaan kerajaan) sebenarnya sangat membimbangkan, seperti berikut:


RM Bilion TK2005 TK2006 TK2007 TK2008 TK2009
Bayaran oleh PETRONAS kepada Kerajaan 32.1 47.7 52.3 61.6 74.0
Tahun Kewangan PETRONAS berakhir 31 Mac [Sumber: Laporan Tahunan PETRONAS 2009]

 Bagi tahun berakhir 31 Disember 2007 dan 31 Disember 2008, PETRONAS menyumbang sebanyak 36.8% dan 44.9% kepada jumlah keseluruhan pendapatan kerajaan. Jika diambil kira hasil cukai dan duti dari syarikat minyak yang lain, Malaysia sebenarnya bergantung lebih 50% kepada hasil minyak semata-mata.

 Walaupun pendapatan dari PETRONAS sangat lumayan dalam tahun 2007 dan 2008, kerajaan terus berbelanja dengan boros dan mencatatkan defisit belanjawan.

 Kesan yang tidak dirancang akibat dasar tidak bertanggungjawab yang membelanjakan wang rakyat sejak 1998 ini; adalah wujudnya jurang di antara pelaburan swasta dan pelaburan kerajaan yang semakin membesar. Ini menimbulkan keraguan sama ada kerajaan mampu meneruskan pendekatan ini yang melonjakkan pertumbuhan ekonomi dengan berbelanja secara besar-besaran; terutamanya apabila hasil minyak semakin berkurangan.

 Di dalam satu kajian oleh Prof KS Jomo (diterbitkan dalam Disember 2009), sejak tahun 2000 perbelanjaan awam telah menjadi enjin pertumbuhan utama negara; mengatasi pelaburan swasta:




















[Sumber: Prof KS Jomo, “Economic Turmoil & Higher Education in the South” – 15 Disember 2009]


 Kejatuhan mendadak pelaburan swasta akan terus menggugat apa-apa langkah untuk menaiktaraf ekonomi negara menjadi bernilai tinggi. Dengan hanya pertumbuhan sekadar 1% di antara 2000 dan 2006, pelaburan swasta (tanpa mengambil kira inflasi) sebanyak RM33 bilion dalam tahun 2006 sebenarnya adalah lebih rendah dari pelaburan swasta dalam tahun 1991.

 Apatah lagi, kadar perbelanjaan awam seperti ini tidak dapat diteruskan kerana negara sudah tidak mampu.

 Apa-apa model ekonomi baru yang hendak diperkenalkan mestilah menyelesaikan jurang di antara pelaburan awam dan pelaburan swasta ini.

 Pakatan Rakyat secara konsisten menegaskan bahawa negara memerlukan perubahan dan reformasi yang menyeluruh ke atas kerangka dasar ekonomi; lebih-lebih lagi melihatkan kedudukan berat sebelah di antara pelaburan awam dan swasta yang ada sekarang.


Pertikaian Kedua:
ALIRAN WANG KELUAR

 Seorang ahli ekonomi dari UBS, Jon Anderson mengejutkan pasaran dan dunia kewangan apabila beliau mendedahkan keadaan sebenar aliran wang keluar dari Malaysia pada tahun 2009. Pada kemuncaknya, aliran wang keluar mencecah kadar 44% dari KDNK negara.




















[Sumber: The Edge, 18 Januari 2010]

 Walaupun perkara ini amat membimbangkan, kerajaan hanya berdolak dalih dengan mendakwa aliran keluar sedemikian rupa adalah bukti keupayaan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) melabur di luar negara. Pada kemuncaknya, dianggarkan RM355 billion wang mengalir keluar dari negara ini.

 Memang kita akui GLC kita lebih agresif akhir-akhir ini untuk melabur di luar negara, tetapi jumlah besar aliran wang keluar membayangkan sebahagian besarnya adalah disebabkan oleh pelabur-pelabur menarik keluar portfolio pelaburan mereka dari negara ini.

 Pada masa yang sama, fenomena yang mana GLC kita lebih berminat membuat pelaburan tambahan di luar negara berbanding memperbesarkan operasi atau melabur lebih lagi di dalam negara; seolah-olah memberi gambaran bahawa mereka juga tidak mempunyai keyakinan dengan ekonomi Malaysia.

 Kedua-dua perkara ini; iaitu penarikan portfolio pelaburan dari Malaysia dan GLC melabur ke luar negara – adalah bukti sentimen pasaran dan pelabur yang berbaur dan masuh belum yakin dengan prospek ekonomi negara di masa terdekat.

 Ini berkait rapat dengan masalah imej Malaysia yang terus mendapat publisiti buruk di mata antarabangsa; oleh kerana kegagalan kerajaan menangani isu-isu terkini dengan baik. Isu-isu seperti isu “Allah”, kehilangan enjin jet, kapal selam yang tidak boleh menyelam dan pelbagai lagi – menjadikan Malaysia bahan ketawa di mata antarabangsa. Jika ini berterusan, ia akan menjadikan Malaysia negara yang berisiko, seperti mana yang dilaporkan oleh sebuah perunding risiko antarabangsa yang berpusat di Hong Kong iaitu Political & Economic Risk Consultancy (PERC).

 Dalam laporan terkininya, PERC menegaskan bahawa imej yang diberikan oleh kerajaan Malaysia dari segi cara menangani pelbagai isu akhir-akhir ini, seolah-olah memberi gambaran negara ini menjadi semakin tidak stabil. Menurut PERC, tidak ada negara Asia lain yang mendapat publisiti antarabangsa yang lebih buruk dari Malaysia.

 Kerajaan perlu sedar bahawa pendekatan fiskal dan ekonomi semata-mata adalah tidak mencukupi untuk mengatasi masalah aliran wang keluar ini; terutamanya apabila ia disebabkan oleh imej kerajaan yang buruk. Masalah ini memerlukan penyelesaian politik juga – hanya dengan ketelusan, keikhlasan, keadilan dan komitmen kepada reformasi dan perubahan, kita dapat mengembalikan keyakinan masyarakat antarabangsa kepada ekonomi kita.

Pertikaian Ketiga:
PELABURAN KAPITAL BARU YANG MERUDUM DAN PERTUMBUHAN TAMBAH NILAI SEKTOR PERKILANGAN YANG MEROSOT

 Sektor perkilangan terus menjadi penyumbang terbesar kepada KDNK sehingga kini. Untuk menaiktaraf menjadi ekonomi bernilai tinggi, kita perlukan asas sektor perkilangan yang baik, rancak dan berkembang. Hanya apabila kita mempunya sektor perkilangan sebegini, barulah kita boleh suntik penyelidiakan dan pembangunan (R&D) dan inovasi kepada produk perkilangan kita, yang menjadi tunjang utama usaha menaiktaraf ekonomi bernilai tinggi.

 Satu laporan oleh ISIS dan UM menunjukkan prospek yang gelap bagi sektor perkilangan kita. Sektor perkilangan telah menunjukkan pertumbuhan yang kian merosot dari segi pertumbuhan nilai tambah; seperti berikut:

1990 - 1995 1995 - 2000 2000 - 2005 2005 - 2010
Purata pertumbuhan nilai tambah tahunan, bagi sektor perkilangan (%) 11.6 5.8 4.9 Anggaran

[Sumber: Dato’ Dr Mahani Zainal Abidin (ISIS) and Prof Dr Rajah Rasiah (UM) – “The Global Financial Crisis and The Malaysian Economy”, Dis 09)

 Mengambil kira penguncupan permintaan eksport terhadap barangan kota dalam tahun 2008 dan 2009, kami menganggarkan penurunan mendadak bagi pertumbuhan nilai tambah perkilangan, bagi tempoh 5 tahun antara 2005 dan 2010. Sekiranya keadaan ini tidak dibendung, menjelang tempoh 2010 hingga 2015, adalah tidak mustahil sektor perkilangan kita mula menguncup dari segi nilai tambahnya.

 Ini adalah satu keadaan Pak Pandir yang merisaukan kita – sedang kerajaan bercakap mengenai menaiktaraf ekonomi menjadi bernilai tinggi, sektor asas ekonomi negara kita yang sepatutnya menjadi tunjang usaha menaiktaraf ekonomi ini sedang mengalami kemerosotan mendadak. Akibatnya, kerajaan terpaksa berdepan dengan dua cabaran getir – cuba merancakkan kembali sektor perkilangan dan pada masa yang sama menaiktaraf keupayaan R&D dan aplikasi teknikal bagi sektor ini; dua cabaran yang kami yakin tidak akan dapat ditangani oleh kerajaan.

 Walau bagaimana pun, ini bukanlah satu perkara uang mengejutkan memandangkan merosotnya pelaburan kapital baru ke dalam sektor perkilangan. Laporan terkini MIDA menunjukkan pelaburan baru seperti berikut:

2008 2009 %
Pelaburan kapital baru (RM b) 62.8 32.6 (48)
FDI (RM b) 46.0 22.1 (52%)

[Sumber: MIDA and The Star, 13 Mac 2010]


 Jika pelaburan kapital baru terus merudum seperti ini – sama ada disebabkan oleh kegagalan kerajaan menarik pelabur asing atau kerana ekonomi Malaysia sudah tidak menarik bagi pekilang sedia ada – usaha menariktaraf ekonomi menjadi bernilai tinggi adalah tidak lebih dari slogan semata-mata.

Pertikaian Keempat:
PEMBANGUNAN MANUSIA YANG TERKEBELAKANG TIDAK AKAN MAMPU MENAMPU LIBERALISASI EKONOMI

 Laporan UNDP oleh Kamal Malhotra (Penasihat Kanan) yang diterbitkan dalam tahun 2008, menyimpulkan bahawa prasyarat untuk menentukan sesebuah negara mendapat manfaat dari liberalisasi ekonomi atau tidak; adalah tahap pembangunan manusia. Hanya apabila tahap pembangunan manusia berada di satu peringkat, barulah negara itu mendapat manfaat dari peluang yang dibawa oleh liberalisasi perdagangan; dan pada masa yang sama menangani dengan baik kesan sampingan liberalisasi.

 Berdasarkan data UNESCO dan MOSTI, pada tahap sekarang dan perkembangan semasa, Malaysia sudah tentu tidak akan dapat mencapai ekonomi bernilai tinggi. Ia juga dijangka tidak akan mendapat manfaat ekonomi yang sewajarnya dari langkah-langkah liberalisasi kerajaan, akibat tahap pembangunan manusia yang terkebelakang, seperti berikut:

Malaysia Singapura Korea Selatan Taiwan Japan
Jurutera dan Penyelidik Teknikal bagi setiap sejuta penduduk (2008) 367 5,713 4,162 4,159 5,148
Perbelanjaan R&D sebagai % KDNK (2008) 0.64 2.39 3.23 2.58 3.4

[Sumber: MOSTI and UNESCO]

 Kecuali satu langkah drastik diambil oleh kerajaan untuk mengalih fokus dan menambaik pengagihan bantuan kewangan kepada program R&D; bukan sahaja Malaysia patut melupakan impian mencapai ekonomi bernilai tinggi, kita juga dikhuatiri mendapat kesan negatif dari liberalisasi kerajaan.

 Oleh itu, pendekatan melepaskan batuk ditangga yang diambil kerajaan sekarang dalam mempercepatkan proses R&D, terutamanya kajian asas (bukan semata-mata kajian aplikasi) perlu diubah dan satu program R&D negara yang lebih menyeluruh perlu diperkenalkan.




Pertikaian Kelima:
KADAR SIMPANAN DAN KADAR PELABURAN YANG TIDAK SAMA, SIMPTOM KEPADA MASALAH MENDAPATKAN KREDIT

 Cabaran untuk meningkatkan pelaburan swasta untuk menggantikan perbelanjaan awam oleh kerajaan yang tidak lagi boleh diteruskan; akan gagal sekiranya kemudahan kredit tidak disediakan dan diagihkan secara berkesan kepada kumpulan yang paling memerlukannya.

 Malaysia mempunyai kadar simpanan yang sangat tinggi, tetapi berbanding negara lain, kadar simpanan ini tidak pula digunakan untuk dilaburkan semula ke dalam ekonomi.

 Perbandingan kadar simpanan dan kadar pelaburan negara berbanding negara lain adalah seperti berikut::

Malaysia Thailand Korea Selatan Indonesia
Kadar purata simpanan 2001 – 2008 (%) 43 33 33 30
Kadar purata pelaburan
2001 – 2008
(%) 21 29 30 24
Perbezaan (%) 22 4 3 6

[Sumber: Laporan UNDP “The Global Financial Crisis and the Asia Pacific Region”]

 Perbezaan di antara kedua-dua kadar yang besar itu membayangkan ketidakmampuan negara untuk menggunapakai simpanan sedia ada untuk disalurkan kepada aktiviti ekonomi yang produktif.

 Ini sebahagiannya disebabkan oleh kegagalan dan ketidakberkesanan kemudahan kredit kepada industri kecil dan sederhana (IKS), sehinggakan akhirnya hanya syarikat besar dan kerajaan yang mendapat kemudahan kredit dari kadar simpanan tersebut.

 Senario ini perlu diubah dan kerajaan hendaklah menumpukan perhatian untuk memperbaiki proses agihan kredit kepada IKS untuk mempercepatkan pertumbuhannya. Apatah lagi, IKS sebenarnya lebih mudah berubah dan menerimapakai aplikasi teknologi baru; dan ini penting jika kita ingin melahirkan industri yang berdaya saing selaras dengan aspirasi ekonomi bernilai tinggi.

Kesimpulan:
REFORMASI MENYELURUH ADALAH SATU-SATU JALAN

 Kelima-lima pertikaian ekonomi tadi secara jelas menggambarkan sukarnya kerajaan melaksanakan apa jua slogan yang dijual kepada rakyat setakat ini.

 Pakatan Rakyat tetap dengan pendirian bahawa hanya reformasi menyeluruh yang melibatkan perang habis-habisan menentang rasuah, memperketatkan proses tender kerajaan, menghapuskan hubung kait kerajaan dan ahli politik dalam perniagaan, mengangkat martabat institusi kehakiman dan instituse negara yang lain dan pembaikpulihan menyeluruh sistem ekonomi negara – yang akan dapat membantu negara mencapai ekonomi bernilai tinggi.

 Pada masa yang sama, kita tidak boleh hilang fokus untuk mempastikan usaha menaiktaraf ekonomi ini adalah bermotifkan aspirasi kita membasmi kemiskinan dan menagihkan kemakmuran secara saksama.


ANWAR IBRAHIM
Ketua Pembangkang

Thursday, February 18, 2010

Selamat Tahun baru Cina

Belum terlambat lagi buat kami di Pusat khidmat Parlimen Kuantan ini untuk mengucapkan Selamat Thaun Baru Cina kepada seluruh warga Kuantan yang berbangsa Tionghua tidak kira apa pun pegangangan politiknya.Agar tahun Harimau 2010 ini agar lebih "ong" dari tahun sebelum ini ini.Pada tahun ini kami di Pusat Khidmat akan hanya mengadakan sambutan tahun baru yang sederhana sahaja kerana PKR Cabang Kuantan akan turut mengadakan sambutan tahun baru Cina secara bersama dengan PKR Negeri Pahang.PKR Pahang juga turut mengadakan Konvensyen PKR Biro Felda yang julung kalinya diadakan di Negeri Pahang dimana pesertanya adalah terdiri dari peneroka generasi pertama hingga generasi kedua & ketiga.Kami akan hanya mengadakan lawatan ke rumah-rumah kebajikan yang ada disekitar bandar Kuantan bagi merayakan golongan yang tidak bernasib naik seperti anak yatim dan warga emas.

Akhir kata "Gong Xi Fatt Chai" buat semua warga Kuantan semoga anda semua bergembira menyambut tahun Harimau tahun ini.

Monday, February 1, 2010

Kepimpinan melalui tauladan(slogan PM Mahathir)

Post ini saya ciplak dari blog temanDengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang beriman, beramal soleh, berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran." (Maksud Ayat 1-4 Surah Al-Asr)
***

NEGARA dan rakyat kini ditimpa pelbagai masalah menakutkan. Jenayah seperti pembunuhan, perompakan, ragut, rogol, zina dan membuang bayi semakin menjadi-jadi. Daripada setinggi-tinggi jenayah berprofil tinggi termasuk kecurian enjin jet pejuang sehingga pembulian di sekolah, semuanya membimbangkan, membayangkan terlalu banyak perkara tidak beres dalam masyarakat kita.

Jenayah kejam yang tidak terfikirkan dulu seperti anak membunuh bapa dan anggota keluarga lain seperti tragedi di Gemenceh, perlu dimuhasabah; apa sebenarnya sudah menimpa masyarakat kita? Apa sebenarnya sudah berlaku kepada generasi muda yang kita didik di sekolah-sekolah kita hari ini?

Gejala songsang ini dan masalah sosial lain seperti penagihan dadah tidak ada penamatnya. Semakin kerajaan bertindak membendungnya, jenayah semakin menjadi-jadi, laksana mencurahkan minyak ke dalam api. Nasihat dan teguran tidak diendahkan, bagaikan mencurah air ke daun keladi.

Tentulah masyarakat tertanya-tanya mengapa hal ini terjadi. Di sini kita berharap masyarakat dapat membuka hati dan fikiran agar permasalahan ini dapat dilerai bersama. Bagi orang Islam beriman, ketidak barakahan dalam hidup ini adalah kerana undang-undang Islam tidak diguna pakai, sedangkan Allah SWT memberi jaminan bahawa dalam hukum-hakam-Nya ada kehidupan.

Apabila undang-undang Allah tidak terlaksana, porak-perandalah masyarakat. Pembunuhan, perompakan dan penzinaan semakin menjadi-jadi sedangkan mengikut hukum Allah, mereka yang bersalah perlu menjalani hukum hudud, qisas dan sebagainya. Apabila hukum Allah tertegak misalnya hukum membunuh dibalas bunuh mengikut hukum qisas, maka gentarlah setiap orang, lantas terselamatlah anggota masyarakat.

Berdasarkan hakikat tidak tertegaknya hukum-hakam Islam, terserlah bahawa apa yang berlaku dalam masyarakat hari ini adalah cerminan daripada sikap dan pembawaan pemimpinnya. Jika pemimpin mahu Islam, rakyat pun mahukan Islam; tetapi apabila pemimpin terus dengan cara Barat dan sekularnya maka rakyat akan mengikutinya.

Orang Melayu yang lemah lembut itu memeluk Islam kerana raja mereka berbuat demikian. Berlainan daripada wilayah dan rantau lain yang memerlukan kepada pembukaan negeri dan penaklukan, orang Melayu memeluk Islam selepas menyaksikan kemurnian pendakwah yang turut menarik minat raja-raja mereka.

Dari segi kepimpinan, pepatah Melayu menyatakan, bagaimana acuan begitulah kuihnya. Kalau hendak melentur buluh biar daripada rebungnya manakala bijak pandai pula berkata 'kalau nak tahu masa depan negara, lihatlah pada generasi mudanya'.

Demikianlah, kita percaya sebahagian daripada punca generasi muda kita semakin tidak terkawal adalah berdasarkan pembawaan pemimpin dan persekitaran yang begitu membingungkan.

Jika di rumah dan sekolah, segala keluhuran diterapkan tetapi apabila berada di luar, anak-anak hilang punca.

Di luar sana pelbagai suasana negatif mereka saksikan dan hadapi. Misalnya, akhbar dan majalah lucah serta separuh lucah membanjiri pasaran.

Apabila menjenguk gerai-gerai majalah, kira-kira 80 peratus daripada bahan bacaan, memaparkan gambar-gambar wanita dalam aksi keterlaluan.

Sebaliknya pula, amat kurang sekali bahan bacaan bermutu yang dapat menyuntik minda generasi muda. Demikian juga pengaruh media massa lain seperti televisyen dan radio. Dalam akhbar pun disiarkan keputusan judi (empat nombor ekor).

Jika dalam usia setahun jagung, anak-anak didedahkan dalam suasana kurang sihat, bagaimana mereka dapat membesar dalam keadaan bebas daripada gejala negatif?

Di sini kita ingin bertanya, mengapakah Kementerian Dalam Negeri (KDN) begitu mudah memberi kebenaran kepada penerbit untuk mengeluarkan bahan-bahan yang boleh merosakkan masa depan generasi muda, seterusnya masyarakat dan negara?

Generasi muda juga mendambakan idola tetapi yang menjadi tumpuan adalah artis-artis dan dunia hiburan yang kerap benar terpesong daripada sempadan tuntutan agama.

Sekali lagi generasi muda gagal mendapatkan contoh baik sebaliknya mereka terikut-ikut gaya penghidupan songsang. Siapa yang membenarkan cara hidup ini kalau bukan pemimpin? Merekalah yang meluluskan lesen, merekalah yang menguatkuasakan undang-undang, merekalah menunjukkan contoh, jadi mereka sewajarlah memikul tanggungjawab paling besar dalam pendidikan dan masa depan anak bangsa.

Sebagai contoh mudah, mengapa pemimpin menunjukkan contoh buruk dalam mengadakan majlis perkahwinan. Mereka mengadakan majlis yang bagaikan di kayangan, maka masyarakat mencontohinya; anak-anak gadis hanya boleh disunting dengan wang hantaran paling kurang RM10,000; jadi bagaimana anak-anak muda dapat berkahwin dengan segera. Maka berlakulah pelbagai keburukan dalam masyarakat; ini gara-gara pemimpin menunjukkan contoh buruk.

Pemimpin mempunyai tanggungjawab besar dalam menentukan masa depan generasi muda. Tetapi apakah pemimpin hari ini dapat dijadikan rujukan yang baik kepada anak-anak? Jawapannya adalah ya dan tidak.

Hari ini banyak pemimpin terpalit dengan perlakukan buruk, ada yang dituduh melakukan pembunuhan, tidak kurang juga didapati bersalah oleh lembaga disiplin parti melalukan politik wang (rasuah) tetapi masih terus memimpin negeri dan negara.

Ini sekali gus menanamkan pandangan negatif di kalangan anak-anak kononnya tidak salah melakukan aneka jenayah ini kerana mereka yang terbabit terus disanjung dan diberi peluang memimpin masyarakat, malah negeri dan negara.

Pemimpin sewajarnya bukan saja bersih tetapi dilihat bersih. Tetapi ramai memperlihatkan watak dan tindakan yang tidak sejajar dengan pandangan dan nasihat yang mereka berikan. Sebagai contoh seorang pemimpin bercakap berapi-api mengenai keburukan amalan rasuah di pentas orang ramai, tetapi dialah juara politik wang, jadi bolehkah dia menjadi idola generasi muda?

Sementara itu jika pemimpin gemar dengan agenda berfoya-foya dengan pesta yang tidak pernah habis-habis seperti yang kerap berlaku di negara kita, maka tidak hairanlah generasi muda akan terikut sama.

Kata orang, bapa borek anak rintik, kalau guru kencing berdiri, anak murid kencing berlari! Kalau pemimpin sesat maka anak murid pun akan sesat. Oleh itu, wahai pemimpin, kembalilah ke pangkal jalan, agar anak bangsa tidak sesat dulu, kini dan selamanya!

Wednesday, January 20, 2010

Gambar Konvensyen PKR Pahang 2010




PC DSAI bersama media

DSAI bersama Pegawai Khas Parlimen Kuantan


Krew Kuantan bersama DS Chua Jui Meng


Wanita Cabang Kuantan penyerahan bunga sebagai kenangan kepada Pengerusi Konvensyen YB Pn Hjh Fuziah


Peserta menunggu ketibaan DSAI menutup Konvensyen PKR Pahang


Pintu masuk utamake Dewan Konvensyen PKR Pahang


Yb Fuziah Pengerusi Konvensyen bersama peserta

Krew Kuantan

Sdr Wong bersama YB Fuziah di meja media

Peserta Konvesyen tekun mendengar pembentangan kertas kerja oleh YB Saifudin Nasution and YB Yaakob Safari
Security team Kuantan

Tuesday, January 12, 2010

Konvensyen Parti Keadilan Rakyat Pahang

Konvensyen PKR Pahang,Ahad, 17 Januari 2010

MENGGILAP HARAPAN RAKYAT

Lokasi
DEWAN RESTORAN TAN JUNG
JALAN HAJI AHMAD, KUANTAN, PAHANG

1) Aturcara Program

8.45pg : Pendaftaran peserta

9.45pg : Ucapan Perasmian oleh Dato’ Fauzi Abdul Rahman Pengerusi MPN PKR Pahang

10.15pg : Rehat & minum Pagi

10.30pg : Kertas Kerja 1 – MENGGILAP HARAPAN RAKYAT : PERANAN DAN TANGGUNGJAWAB PARTI KEADILAN RAKYAT Oleh YB Saifuddin Nasution – SU AGONG PKR

11.05pg : Kertas Kerja 2 – MEMENUHI HARAPAN RAKYAT : SATU TANGGUNGJAWAB BESAR PARTI KEADILAN RAKYAT Oleh YB Yaakob Safari – EXCO Kerajaan Negeri Selangor

11.40tghari : Kertas Kerja 3 – PERANAN AMK DALAM MEMBENTUK KERAJAAN - Oleh Sdr. Shamsul Iskandar Mohd Akin – Ketua AMK Pusat

12.15tghari : Sesi Soal Jawab (Ketiga-tiga pembentang kertas kerja)

1.00tghari : Rehat, makan tengahari & Solat Zohor

2.15ptg : Perbahasan Utama – PERANAN PKR UNTUK MENARIK SOKONGAN RAKYAT Oleh YB Fuziah Salleh MP KUANTAN

2.35ptg : Perbahasan Wakil-wakil Zon Timur, Tengah & Barat

3.40ptg : Rumusan Perbahasan – PARTI KEADILAN RAKYAT MENJANA PERJUANGAN Oleh YB Zuraidah Kamaruddin – Ketua Wanita PKR Pusat

4.30ptg : Rehat, Minum petang & Solat Asar

5.00ptg : Ucaptama Dan Majlis Penutup Oleh YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim Ketua Umum PKR

6.00ptg : Kenyataan Media – YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim

6.00ptg : Bersurai

—-

2) Program Kuliah Maghrib

7.15mlm : Solat Maghrib dan Solat Hajat

Kuliah oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim

Tempat : Masjid al-Khairiah, Batu 6, Jln Gambang, Kuantan.

——

3) Majlis Makan Malam Tahunan PKR Pahang

Lokasi

RESTORAN TANJUNG, JALAN HAJI AHMAD, KUANTAN

JAM 8.00 MALAM

UCAPAN : 1) YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim

2) Dato’ Fauzi Abdul Rahman

3) YB Tien Chua

4) YBHG. Dato’ Seri Chua jui Meng

——-

3) CERAMAH PERDANA

Tempat

DATARAN RAYAT – PEJABAT PKR PAHANG LOT 1051, JALAN BESERAH, KUANTAN, PAHANG

MASA : 9.00 – 12.00 mlm

PENCERAMAH : 1) Dato’ Seri Anwar Ibrahim

2) Sdr. Shamsul Iskandar – Ketua AMK

3) YBHG. Dato Seri Chua Jui Meng

4) Sdr Mohd Nizam Abdul Hamid

5) YBHG. DR. Hamzah Jaafar (PAS)